Khairul Azman Mohamed, P.Maniam, K.Gunalan, See Kim Seng, A.Jayakanthan, Mubin Mokhtar (A.Elanggovan 75), Ahmad Yusof, Azizol Abu Haniffah (Lee Kin Hong), Malek Rahman, Dollah Salleh, Azman Adnan.
Nama-nama di atas adalah barisan pemain Malaysia yang beraksi dalam final Pestabola Merdeka 1993 menentang skuad bawah 23 Korea Selatan. Malaysia menang 3-1 hasil dua gol Azman Adnan dalam masa tambahan.
Ramai orang kata skuad Piala Tiger 1996 adalah skuad terbaik terakhir negara, tapi pada aku, skuad Pestabola Merdeka 1993 lebih seimbang dan jurulatih masa tu, Ken Worden meletakkan otai-otai kita bermain pada posisi terbaik mereka masing-masing. Dalam Pestabola Merdeka 1993, kita ada lawan CSKA Sofia dari Bulgaria, FC Aarau dari Switzerland dan Korea bawah 23 pun bukan calang-calang lawan. Team senior mereka pun masa tu dah ke World Cup 2 kali (1986 dan 1990).Jadi, lawan-lawan kita lebih kuat dan aku memutuskan kalau skuad 1993 lawan 1996, skuad 1993 gerenti menang.
Dan aku rasa ramai orang veteran yang sedia tahu Ken Worden memang suka guna 3-5-2.Disebabkan aku dah failed beberapa kali untuk meletakkan Malaysia 1993: 3-5-2 dalam bentuk formasi, aku terpaksalah meletakkan analisis ni dalam bentuk di bawah. Aku harap korang dapat faham apa yang aku nak cerita ni.
Khairul Azman – Antara GK terbaik Asia masa tu. No question.
See Kim Seng – Pertahanan tengah kanan – preferred foot – kanan.
Ahmad Yusof – Libero. Steady factor di bahagian pertahanan.Selesa dengan bola.
K.Gunalan – Pertahanan tengah kiri
A.Jayakanthan dan P.Maniam – wingback kanan dan kiri. Stamina mereka ni memang kuat dan inilah kriteria utama untuk menjadi wingback yang bagus.
Mubin Mokhtar dan Malek Rahman – enjin tengah – Mubin bermain di posisi tengah kiri. Malek Rahman di tengah kanan. Kedua-duanya ball-winners, ada kemahiran menghantar bola dan boleh membuat rembatan kuat dari jarak jauh.
Azizol Abu Hannifah – Posisi ‘ hole ‘ , free-role. Perancang utama. Pemain yang fantastik pada zamannya.
Azman Adnan dan Dollah Salleh – Serangan. Azman di sebelah kanan, manakala Dollah memang semua orang dah tahu, kaki kiri dia sweet, jadi Worden letak dia sebagai striker kiri.
3-5-2 sememangnya satu formasi yang sangat flexible dan tlah terbukti dalam sejarah, banyak pasukan underdogs yang telah menempa kejayaan dengan menggunakan formasi ini. Empat pasukan terakhir Piala Dunia 2002 menggunakannya. Liverpool setelah ketinggalan 0-3 di tangan AC Milan dalam final Liga Juara-Juara 2005 bangkit di separuh masa kedua dengan meletakkan 3 pertahanan tengah dan memasukkan Dietmar Hamann berganding dengan Xabi Alonso di bahagian tengah untuk menghadkan pengaruh Kaka. Ken Worden membawa tiga Piala Malaysia kepada Selangor (1995,1996) dengan 3-5-2. Pada tahun 1997, Steve Wicks merasakan adalah tidak perlu untuk mengubah corak Selangor yang ditinggalkan Ken Worden dan beliau meneruskan kesinambungan 3-5-2 dengan membawa Selangor menang 3 piala tahun itu. Cuma Tony Cottee sahaja yang buat taik.
Dari sudut perspektif Malaysia 1993, Ahmad Yusof dan Azizol Abu Hannifah memainkan peranan yang sangat besar baik ketika menyerang dengan bola dan bertahan tanpa bola. Kemampuan Ahmad Yusof membawa bola memberi pilihan kepada Worden untuk mengarahkan beliau sebagai pemain tengah ketiga di samping Malek Rahman dan Mubin Mokhtar ketika menyerang. Peranan bebas yang diberi kepada Azizol juga membolehkan beliau menyelinap masuk ke bahagian serangan membentuk gandingan tiga serangkai bersama Azman dan Dollah.
Sebagai bonus, Azman dan Dollah juga bukanlah hanya setakat striker, kemahiran menggelecek mereka juga sangat bagus dan mampu beroperasi dengan bebas di bahagian serangan kiri dan kanan. Ini membolehkan pertukaran posisi berlaku ketika ia diperlukan. Ketika bertahan, Azizol akan turun ke bawah sedikit dalam formasi bertahan 5-3-2 dan bertanggungjawab menghidu sebarang peluang untuk memulakan gerak serangan balas pantas.
Posisi bek sayap dalam formasi 3-5-2 amat menuntut keras kekuatan stamina dan terbukti A.Jayakanthan dan P.Maniam adalah yang terbaik untuk mengisi posisi ini meskipun Jayakanthan dilihat lebih rajin membuat larian-larian overlapping. P.Maniam pula lebih mengingatkan aku kepada Fabio Aurelio, dia bukan seorang bek sayap yang explosive, namun bijak dalam menentukan waktu larian-larian beliau dan seorang penghantar bola yang lebih baik berbanding Jayakanthan.

Ini bukan gambar team masa Pestabola 1993, mungkin friendly kot. Berdiri (dari kiri) - See Kim Seng, P.Maniam, A Jayakanthan, K,Gunalan, Khairul Azman, Ahmad Yusof Duduk (dari Kiri) - Mubin Mokhtar, Malek Rahman, Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan, Azizol Abu Hannifah
Bakat-bakat bolasepak Malaysia yang muncul di era 90an tidaklah semeriah seperti era 70an dan 80an walaupun Liga domestik ketika itu meriah dengan Liga Semi Pro yang telahpun memasuki tahun ke 5 (digantikan dengan liga pro pada tahun berikutnya) ditambah dengan kebanjiran pemain-pemain import berkualiti tinggi. Ken Worden menyedari hakikat ini dan dalam tugasan Pestabola Merdeka 1993 ini, kejayaan beliau mengumpulkan pemain-pemain yang BETUL dan meletakkan mereka di posisi yang BETUL, dengan mentaliti dan disiplin yang BETUL membuahkan hasil akhir yang sangat bermakna.Sayang sekali, Ken Worden mengundurkan diri sebelum Sukan Sea 1993 di Singapura dan kita gagal lagi layak ke separuh akhir.
Skuad Malaysia Pestabola Merdeka 1993 adalah skuad bolasepak negara terbaik selama aku menonton perlawanan bolasepak melibatkan Malaysia dan yang terakhir enjoy ditonton. Kejohanan 1993 juga turut diperindahkan lagi dengan padang Stadium Merdeka yang becak dek musim hujan lebat yang melanda Lembah Klang. Ini memberi pengalaman menarik kepada pasukan-pasukan yang bertanding terutamanya pasukan-pasukan Eropah. Aku terlepas final dan cuma sempat menonton sampai ke peringkat separuh akhir sahaja (siaran tertunda tv3) menentang FC Aarau.Masa tu baru Darjah 4 dan tabiat tidur-tidur lewat ni belum lagi menjadi kebiasaan aku waktu itu.
Aku percaya 3-5-2 adalah salah satu jawapan untuk mengembalikan maruah pasukan kebangsaan ketika kita masih lagi tak nampak bakat-bakat natural dan istimewa seperti Almarhum Mokhtar dan rakan-rakan dari zaman emas 70an dan 80an. Gunakan pemain yang BETUL dan letakkan dia pada tempat yang BETUL Selain itu, aku masih berharap agar bolasepak di Malaysia ini kembali menjadi permainan berbilang kaum.
Macam yang Encik Aqso cakap kat aku -” orang kita ada skill, India ada strength dengan stamina, Cina ada otak dan Soh Chin Aun main bola pakai otak”